Surat Hawa Untuk Adam
Ohh Adam…
Adam….. Maafkan aku jika coretan ini
memanaskan hatimu. Sesungguhnya aku adalah Hawa, temanmu yang kau pinta semasa
kesunyian di syurga dahulu.
Aku asalnya dari tulang rusukmu yang
bengkok. Jadi tidak hairanlah jika perjalanan hidupku sentiasa inginkan
bimbingan darimu, sentiasa mau terpesong dari landasan, kerana aku buruan
syaitan.
Adam… Maha suci Allah yang mentakdirkan
kaumku lebih ramai bilangannya dari kaummu dia akhir zaman, itulah sebenarnya
ketelitian Allah dalam urusanNya Jika bilangan kaummu mengatasai kaumku nescaya
merahlah dunia kerana darah manusia, kacau-bilaulah suasana, Adam sama Adam bermusuhan
kerana Hawa.
Buktinya cukup nyata dari peristiwa Habil
dan Qabil sehinggalah pada zaman cucu-cicitnya. Pun jika begitu maka tidak
selaraslah undang-undang Allah yang mengharuskan Adam beristeri lebih dari satu
tapi tidak lebih dari empat pada satu waktu.
Adam… Bukan kerana ramainya isterimu yang
membimbangkan aku. Bukan kerana sedikitnya bilanganmu yang merunsingkan aku.
Tapi… aku risau, gundah dan gulana menyaksikan tingkahmu. Aku sejak dulu lagi
sudah tahu bahawa aku mesti tunduk ketika menjadi isterimu.
Namun… terasa berat pula untukku meyatakan
isi perkara.
Adam… Aku tahu bahawa dalam Al-Quran ada
ayat yang menyatakan kaum lelaki adalah menguasai terhadap kaum wanita. Kau
diberi amanah untuk mendidik aku, kau diberi tanggungjawab untuk menjaga aku,
memerhati dan mengawasi aku agar sentiasa didalam redha Tuhanku dan Tuhanmu.
Tapi Adam… nyata dan rata-rata apa yang
sudah terjadi pada kaumku kini, aku dan kaumku telah ramai menderhakaimu. Ramai
yang telah menyimpang dari jalan yang ditetapkan Asalnya Allah mengkehendaki
aku tinggal tetap dirumah. Di jalan-jalan, di pasar-pasar, di bandar-bandar
bukan tempatku. Jika terpaksa aku keluar dari rumah seluruh tubuhku mesti
ditutup dari hujung kaki sampai hujung rambut.
Tapi.. realitinya kini, Hawa telah lebih
dari sepatutnya.
Adam… Mengapa kau biarkan aku begini? Aku
jadi ibu, aku jadi guru, itu sudah tentu katamu. Aku ibu dan guru kepada
anak-anakmu. Tapi sekarang diwaktu yang sama, aku ke muka menguruskan hal
negara, aku ke hutan memikul senjata. Padahal, kau duduk saja. Ada diantara kau
yang menganggur tiada kerja. Kau perhatikan saja aku panjat tangga di pejabat
bomba, kainku tinggi menyingsing peha mengamankan negara. Apakah kau sekarang
tidak lagi seperti dulu? Apakah sudah hilang kasih sucimu terhadapku?
Adam… Marahkah kau jika kukatakan andainya
Hawa terpesong, maka Adam yang patut tanggung! Kenapa? Mengapa begitu ADAM? Ya!
Ramai orang berkata jika anak jahat emak-bapak tak pandai didik, jika murid
bodoh, guru yang tidak pandai mengajar! Adam kau selalu berkata, Hawa memang
degil, tak mahu dengar kata, tak mudah makan nasihat, kepala batu, pada hematku
yang dhaif ini Adam, seharusnya kau tanya dirimu, apakah didikanmu terhadapku
sama seperti didikan Nabi Muhammad SAW terhadap isteri-isterinya? Adakah Adam
melayani Hawa sama seperti psikologi Muhammad terhadap mereka? Adakah akhlak
Adam-Adam boleh dijadikan contoh terhadap kaum Hawa?
Adam… Kau sebenarnya imam dan aku adalah
makmummu, aku adalah pengikut-pengikutmu kerana kau adalah ketua. Jika kau
benar, maka benarlah aku. Jika kau lalai, lalailah aku. Kau punya kelebihan
akal manakala aku kelebihan nafsu.
Akalmu sembilan, nafsumu satu. Aku…akalku
satu nafsuku beribu! Dari itu Adam….pimpinlah tanganku, kerana aku sering lupa,
lalai dan alpa, sering aku tergelincir ditolak sorong oleh nafsu dan
kuncu-kuncunya.
Bimbinglah daku untuk menyelami kalimah
Allah, perdengarkanlah daku kalimah syahdu dari Tuhanmu agar menerangi hidupku.
Tiuplah ruh jihad ke dalam dadaku agar aku menjadi mujahidah kekasih Allah.
Adam… Andainya kau masih lalai dan alpa
dengan karenahmu sendiri, masih segan mengikut langkah para sahabat, masih
gentar mencegah mungkar, maka kita tunggu dan lihatlah, dunia ini akan hancur
bila kaumku yang akan memerintah. Malulah engkau Adam, malulah engkau pada
dirimu sendiri dan pada Tuhanmu yang engkau agungkan itu…
Ikhlas dari
Hawa

Surat kecil untuk Tuhan:
BalasHapusGod please give me a fuc*ing job for my brigthes future.